Kerna Kasih Kita...

Kerna Kasih Kita...

Wednesday, August 1, 2012

Happy Birthday Along

Along Sayang…..
Ummi, Abah, & Abang Ngah ucapkan selamat hari lahir yang ke-7 buat Along. Kami bertiga sayang Along sangat-sangat. Kami doakan moga Along bahagia di dunia & akhirat, InsyaALLAH.
Berita yang Mengejutkan
Along, masih segar dalam ingatan Ummi…..
tanggal 10 Jan 2005 Ummi buat pemeriksaan di Klinik Zalfah, Fasa 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi kerana merasakan ada sesuatu perubahan pada diri Ummi. Adakalanya terasa penat sangat, adakalanya terasa pening, adakalanya terasa mual, silih berganti. Doktor yang bertugas pada hari berkenaan, Dr. Ahmad Sabri mengesahkan bahawa Ummi mengandung.

Syukur Alhamdulillah. Sememangnya telah Ummi agak dari awal lagi kerana selama ini period (nanti kamu akan faham apa bendanya ni) Ummi tidak pernah terlewat. Abah juga memang merasakan perkara yang sama kerana menurutnya Ummi agak cepat meradang sejak akhir-akhir ini, entahlah Ummi pun tak perasan pasal mood Ummi yang tak menentu itu.

Sepanjang mengandungkan kamu, Ummi rasa agak tertekan juga kerana seringkali muntah. Makanan seharian pula adalah nasi putih berlaukkan ikan bilis goreng sahaja (ikan bilis yang telah digoreng kemudiannya dibungkus dalam tisu kerana Ummi akan muntah apabila terbau minyak masak). Seksanya pada masa itu, namun Ummi kuatkan hati kerana menurut Doktor biasanya di awal-awal ibu mengandung perkara sebegini adalah biasa. Dan menurutnya keadaan akan kembali pulih setelah kandungan masuk bulan ke-4 nanti.
Namun, sehingga kandungan masuk bulan ke-6 pun keadaan masih sama. Perut Ummi agak kecil juga, kata orang mengandung sulung memang perut tak nampak besar sangat. Namun apabila kandungan masuk bulan ke-7 perut Ummi seolah-olah besar sangat. Dr. Kamsiah (Dr Kamsiah Haji Muda) di Klinik Az-Zahrah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kandungan Ummi ini. Ummi dinasihatkan untuk membuat scan 3-D dan 4-D untuk mengetahui masalah yang sebenar.
Di Klinik Az-Zahrah pun Ummi ada buat scan 3-D, tapi Dr. Kamsiah tidak memberitahu Ummi secara detail tentang masalah kandungan Ummi. Ummi dapat rasakan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan Ummi. 
Ummi kemudiannya dirujuk kepada pakar O&G di HUKM untuk mendapat 2nd opinion serta pemeriksaan seterusnya. Di sana Ummi bertemu dengan Puan Anson iaitu seorang juru scan yang berpengalaman. Setelah selesai menjalankan scan 3-D dan 4-D dia menasihatkan Ummi berjumpa dengan Dr. Har (Prof Madya Dr. Harlina Harlijah Siraj) untuk sesi kaunseling. Ummi dan Abah terpinga-pinga waktu itu…apa masalahnya…kenapa kena jalani sesi kaunseling…??
Menurut Puan Anson, Dr. Har ada kuliah pada masa itu dan akan sampai ke klinik dalam waktu terdekat ini. Sementara menunggu kedatangan Dr. Har emosi Ummi tak menentu, Ummi tak tau apa nak buat…apa nak fikir…apa bakal berlaku… Abah hanya dia membisu saja, Ummi tak pasti apa yang Abah fikirkan.
Tidak berapa lama kemudian Dr. Har tiba…
Assalamualaikum Mawar dan Adib”, sapanya sambil bersalam dengan Ummi.
Sambungnya lagi “saya harap Mawar dan Adib tabah menerima apa yang akan saya perkatakan ini. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, kita sebagai hamba kena redha. Saya telah melihat laporan scan yang telah dijalankan terhadap Mawar dan kami dapati baby dalam kandungan ada masalah Duodenal Atresia iaitu usus tidak bersambung, sebab itulah kita tengok perut Mawar seolah-olah tiba-tiba membesar. Masalah ini kerap berlaku pada baby yang mengalami Duodenal Atresia. Biasanya 1 daripada 3 baby yang ada masalah Duodenal Atresia adalah Down Syndrome. Hanya ada satu cara untuk pastikan baby Down Syndrome atau pun normal adalah melalui amniocentesis”.
Ummi terkejut dengan penjelasan itu, begitu juga dengan Abah kamu, Ummi fikir.....
Kalau Mawar dan Adib bersetuju kita akan buat amniocentesis iaitu dengan mengambil air ketuban dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan. Buat masa ni kita ada 2 pilihan samada menghantar air ketuban ini ke makmal di Singapura dengan kos RM1000 atau ke makmal di Australia dengan kos RM1500. Kalau di Singapura resultnya lambat sikit, dalam masa seminggu baru dapat tahu. Tapi kalau di Australia, kita akan dapat result dalam masa 3 hari je”.
Apa perlunya saya buat pemeriksaan ini?”, Ummi bertanya dalam kebingungan. Ummi rasa seolah-olah Ummi bertanyakan satu soalan yang Ummi sendiri sudah tahu jawapannya; iaitu untuk pastikan baby Down Syndrome atau pun normal.
Dengan tenang Dr. Har menerangkan, “macam ni Mawar ya, sebenar kita belum pasti apa sebenarnya masalah kandungan ini. Namun jika kita tahu keadaannya yang sebenar dari awal, kita akan lebih bersedia…lebih redha…lebih berlapang dada menerima ujian ALLAH ini. Tiada siapa yang inginkan sesuatu yang buruk berlaku, apatah lagi kepada anak kandung kita sendiri. Namun ketentuan ALLAH tiada siapa yang tahu. Sebagai contoh, dua orang anak Puan Anson telah kembali ke rahmatullah. Ujian ini juga saya sendiri pernah lalui, kematian anak setelah berusia 8 tahun…..”.
Buat masa ini, nasihat saya, Mawar boleh ambil cuti 2 hingga 3 minggu atau pun cuti bermula hari ini sehingga Mawar selamat bersalin. Ambil masa untuk tenangkan diri. Pernah ada kes yang ibu tidak dapat menerima keadaan ini. Kita bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku…..
Adib juga jangan biarkan Mawar bersendirian, sebolehnya sentiasa berada disisi Mawar, untuk memberi semangat juga kekuatan untuk melalui semua ini”.
Abah kamu diam…..
Setelah agak lama berfikir, barulah Ummi mampu bersuara, “Dr, saya rasa saya tak perlu ambil cuti (Ummi fikir, kalau cuti maknanya adakalanya Ummi akan tinggal seorang diri di rumah ketika Abah kamu kerja), Dr jangan bimbang, saya boleh pergi kerja macam biasa (Ummi fikir, kalau pegi kerja maknanya Ummi tak akan keseorangan sebab akan sentiasa di kelilingi oleh kawan-kawan ofis Ummi), InsyaALLAH kami boleh lalui semua ini”.
Along Sayang, itulah antara permulaan secebis kisah (banyak lagi kisah kamu akan Ummi ceritakan bila kamu besar nanti, supaya kamu tahu…..juga supaya kamu menjadi insan yang tahu diri…..yang sentiasa bersyukur dengan nikmat ALLAH) bagaimana Ummi melalui saat getir… saat perit Ummi menerima kehadiran kamu. Ummi bersyukur kerana Abah sentiasa disisi Ummi.
Alhamdulillah, telah 7 tahun kisah itu berlalu…..
Ummi & Abah redha & syukur dengan apa jua ujian yang telah kami lalui. Kami (secara peribadinya) bangga dengan setiap kemampuan kamu, juga setiap kebolehan yang kamu ada pada hari ini. Bagi kami, kamu anak yang HEBAT…!!
p/s: Ummi ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-44 kepada kawan Ummi; Kak Lah, yang juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan kamu. Ummi juga pasti yang kawan Ummi ini juga ada melalui saat-saat getir dalam hidupnya sehingga menjadikan dia muncul sebagai insan yang HEBAT sebagaimana hari ini.
Kak Lah, semoga hidup Kak Lah sentiasa dilindungi ALLAH. Doa saya sentiasa mengiringi perjalanan hidup Kak Lah. Saya sayang Kak Lah…!!

No comments:

Post a Comment